| |
Sunday, 15 April 2007 07:45am |
Mingguan Malaysia (Digunakan dengan kebenaran) KELMARIN, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan empat inisiatif penambah baik mutu sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan khususnya berhubung peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam melancarkan urusan berkaitan pelaksanaan sesuatu projek pembangunan. Ramai melihat ini sebagai permulaan baru kepada masa depan sektor perumahan negara dan memberi harapan kepada pemaju serta pembeli dalam mendapat keadilan yang sewajarnya. Inisiatif tersebut ialah mewujudkan sistem pusat setempat (OSC), Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) menggantikan Sijil Layak Menduduki (CFO), Akta Pengurusan Harta Bersama (COB) 2007 dan konsep bina kemudian jual (BKJ). Serentak itu juga, enam akta serta satu undang-undang kecil telah dikuatkuasakan bermula 12 April lalu. Menerusi OSC, proses pembangunan hartanah yang berada di bawah kawalan PBT bermula dari peringkat awal sehingga berlakunya pelaksanaan projek yang dahulunya memakan masa tiga hingga lima tahun dipendekkan kepada empat hingga enam bulan sahaja. Dengan kaedah CCC, pemaju dikehendaki menandatangani 21 borang, diawasi pihak profesional supaya segala syarat pembinaan dipatuhi berbanding hanya satu borang sebelum ini. Langkah penggubalan Akta COB 2007 pula bagi mewujudkan jawatan Pesuruhjaya Bangunan yang berfungsi sebagai perantara antara pemilik unit strata dengan pihak pengurusan bangunan manakala konsep BKJ akan memberi pelbagai insentif kepada pemaju bagi menggalakkan mereka melaksanakan konsep baru tersebut. ‘‘Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan ini membuktikan janji-janji kerajaan untuk memperbaiki kualiti perkhidmatan awam bukan sekadar cakap kosong,’’ kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting. Ditanya tentang sejauh mana pihaknya dapat memastikan apa yang dihasratkan oleh pucuk pimpinan ini akan menjadi kenyataan, kata beliau; ‘‘Memang ini satu tanggungjawab besar tetapi perlu ada pihak menggerakkannya,’’ ujar Ka Ting. Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, SITI MARIAM MD. ZAIN dan NIZAM YATIM semalam, beliau menegaskan bahawa semuanya ini hanya akan menjadi realiti sekiranya mendapat kerjasama penuh daripada pihak-pihak terlibat terutama PBT sendiri, pemaju dan para profesional. ‘‘Saya harap mereka faham bahawa ini adalah satu anjakan paradigma. Anjakan paradigma amat penting untuk meningkatkan sistem penyampaian awam dan seterusnya daya saing negara,’’ katanya. MINGGUAN: Perdana Menteri dalam ucapannya menekankan tentang pasukan Inspektorat sebagai pihak pemantau pelaksanaan sistem baru ini. Siapa yang akan menganggotainya? KA TING: Inspektorat akan ditubuhkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Kita akan mendapatkan pegawai-pegawai yang sesuai untuk menganggotainya. Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut antara kementerian saya dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Kementerian Kewangan. Jemaah Menteri telah pun meluluskan penubuhannya dan struktur lengkap akan diuruskan selepas ini. Sebagai permulaan, beberapa jawatan strategik akan diwujudkan sebelum diperluaskan bergantung kepada mekanisme yang akan ditetapkan. Mereka akan dilantik daripada kakitangan kerajaan, seelok- eloknya mempunyai pengetahuan profesional. Kerana ini berkait dengan soal-soal perancangan bandar. Dan kita berpendapat lebih sesuai jika golongan ini terdiri daripada pelbagai disiplin supaya mudah memahami apa yang berlaku di bawah. Pasukan ini juga akan bertanggungjawab mendengar aduan. Laporan yang dikumpul akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri dan Majlis Negara Kerajaan Tempatan. Sekiranya JPA meluluskan jawatan yang diminta, kita boleh memulakannya. Perdana Menteri telah menetapkan tempoh dua bulan untuk semua pihak menyesuaikan diri dan melakukan semua persiapan yang diperlukan. Sistem CFO diganti dengan CCC. Pihak profesional yang dilantik akan mengawasi sesuatu projek supaya pemaju mematuhi syarat-syarat ditetapkan. Bagaimana jika syarikat yang diwakili oleh profesional itu tadi tutup atau berlaku kematian. Apa yang akan berlaku seterusnya? KA TING: Di bawah sistem baru terdapat 21 borang yang perlu ditandatangani oleh pemaju berdasarkan kepada tahap kemajuan projek. Setiap tahap akan ada individu yang bertanggungjawab. Contohnya struktur bangunan, maka jurutera terbabit perlu menandatangani borang mengatakan struktur bangunan tersebut adalah mengikut spesifikasi yang betul. Ini diikuti tandatangan oleh arkitek yang bertanggungjawab menyerahkan borang tersebut kepada pihak berkuasa. Setiap tahap pembangunan perlu ada kelulusan spesifikasi. Maknanya ada individu yang akan dipertanggungjawabkan. Katalah jika berlaku sebarang masalah kepada syarikat atau arkitek itu sendiri meninggal dunia, mereka yang menandatangani borang-borang terdahulu masih ada lagi untuk kita rujuk. Maka tidak akan wujud masalah tiada siapa yang akan tidak bertanggungjawab di sini. Dalam masa sama, pemaju boleh melantik profesional lain untuk mengambil alih tugas. Berbanding dengan sistem lama, hanya satu borang permohonan yang perlu ditandatangani sebelum diserahkan kepada kerajaan tempatan. Konsep BKJ, tidakkah ini menjejaskan peluang golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri kerana pemaju tentu tidak berminat lagi untuk melaksanakan projek rumah kos rendah? KA TING: Pembekalan rumah kos rendah tidak akan terjejas kerana kerajaan akan memastikan agensi-agensi kerajaan terus membina rumah-rumah mampu milik atau mampu sewa yang secukupnya kepada golongan berpendapatan rendah. Jabatan Perumahan Negara, Syarikat Perumahan Negara, Perbadanan Negeri dan juga agensi-agensi yang lain akan tetap melaksanakan tanggungjawab ini. Isu sekarang terdapat juga permintaan tinggi bagi kawasan yang mempunyai rumah kos rendah mencukupi untuk membina rumah kos sederhana rendah. Dengan sistem BKJ ini, sebahagian daripada rumah kos sederhana rendah akan dibekalkan. Ini akan saling melengkapi keperluan. Jangan lupa sekarang masih banyak projek yang mengikut sistem sedia ada. Dan ia masih mewajibkan pemaju membina rumah kos rendah. Semua ini diambil kira. Apa jaminan kerajaan bahawa pihak pemaju akan mematuhi segala syarat yang ditetapkan? KA TING: Kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama. Di kawasan yang memerlukan lebih banyak rumah kos rendah, kita akan memastikan kerajaan membina sebahagiannya dan sebahagian lagi oleh pihak swasta. Pihak swasta ini ialah mereka yang tidak melaksanakan konsep BKJ. Pemaju yang memilih konsep BKJ, diwajibkan membina rumah kos sederhana rendah. Jangan lupa rumah kos sederhana rendah juga amat penting. Ramai yang berpendapatan sederhana rendah mahukan rumah lebih besar. Keluasan rumah kos rendah sekarang hanya 650 kaki persegi. Golongan yang agak mampu mahukan keluasan rumah 800 atau 900 kaki persegi. Sebenarnya kita akan mendapat satu keadaan yang lebih seimbang. Kita tidak mahu rumah kos tinggi atau kos rendah sahaja. Adakah sistem baru ini diwajibkan kepada pemaju atau mereka mempunyai pilihan lain? KA TING: Dalam masa peralihan ini, bagi projek yang sudah mengemukakan pelan bangunan, kelulusan hampir diberikan, mereka boleh terus berpegang kepada sistem lama. Tetapi bagi permohonan baru yang dikemukakan selepas 12 April, mereka wajib menggunakan sistem baru. Pilihan hanya kepada projek-projek yang telah dikemukakan awal. Kebimbangan rakyat terutama bagi yang berpendapatan rendah sekarang apabila dilaksanakan sistem BKJ ini ialah harga rumah akan meningkat. Komen Datuk Seri? KA TING: Sebab itu saya katakan kita tidak boleh secara drastik mewajibkan sesuatu sistem sahaja. Banyak lagi projek jual pada masa yang sama, bina. Sistem sedia ada masih berjalan dan ini juga akan membekalkan banyak rumah. Kalau kita hanya bergantung kepada siap baru jual, maka akan timbul masalah kerana harga akan naik. Oleh kerana mahukan keseimbangan, kita membenarkan kedua-dua sistem ini dijalankan selari. Pada masa sama, kerajaan tetap mengawal harga siling rumah kos rendah. Kita akan memantau dari semasa ke semasa. Tetapi pemaju mendakwa kos meningkat dan mereka tiada pilihan mengekalkan harga? KA TING: Pemaju memang berharap tidak mahu membina rumah kos rendah tetapi selagi mereka memilih sistem lama, mereka tiada pilihan. Jika pun mereka memilih sistem baru, kerajaan akan memastikan rumah jenis kos rendah akan mencukupi. Maksudnya golongan berpendapatan rendah tidak perlu bimbang dengan keadaan ini? KA TING: Kerajaan berani memberi jaminan pembekalan rumah kos rendah akan sentiasa dipantau. Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) juga telah ada sasarannya. Kerajaan tidak akan mengabaikan tanggungjawab ini. Ia tetap akan menjadi satu keutamaan. Kenapa BKJ hanya sebagai pilihan dan bukan diwajibkan ke atas semua pemaju? KA TING: Jika ini berlaku, boleh menyebabkan industri pembinaan rumah negara menguncup kerana pemaju membina rumah dalam jumlah sedikit. Ini kerana, mereka hanya boleh mengutip bayaran pendahuluan 10 peratus daripada pembeli dan bakinya melalui pinjaman bank. Tetapi kita harus ingat bank tidak selalunya memberikan pemaju terlalu banyak wang. Faktor lain, wujud situasi tidak pasti, kerana terdapat kemungkinan besar pembeli yang membayar 10 peratus pendahuluan membuat keputusan tidak meneruskan hasrat mereka. Tetapi di Australia, mereka dapat melaksanakan konsep ini tanpa menjejaskan industri? KA TING: Mereka mempunyai sistem kewangan dan insurans kukuh yang boleh memastikan pinjaman diberikan bagi projek perumahan. Mereka juga mempunyai undang-undang ketat mewajibkan pembeli yang telah menandatangani perjanjian jual beli membeli rumah berkenaan. Di Malaysia, kita tiada undang-undang sedemikian. Mungkinkah kerajaan akan mewajibkan semua pemaju mengamalkan konsep BKJ ? KA TING: Kita akan cuba dahulu kaedah pilihan ini iaitu antara BKJ serta konsep jual dan bina. Kita ingin melihat sejauh mana pencapaiannya. Keadaan seperti ini akan berterusan untuk tempoh kira-kira dua tahun bagi membolehkan segala kelemahan dikenal pasti terlebih dahulu. Jika diwajibkan, ada pihak melihat masa depan pemaju kecil gelap kerana mereka tidak mempunyai modal besar untuk melakukannya? KA TING: Sebab itu kita tidak mewajibkan konsep ini kerana tahu kesan-kesannya terhadap pemaju kecil. Mereka masih boleh membina rumah menggunakan konsep lama. Masih berlaku kes pemaju lewat menyiapkan projek atau menyerahkan kunci walaupun tiada CFO. Kesannya ialah kepada pembeli. Apa langkah kementerian untuk mengatasi masalah ini? KA TING: Kita akan memastikan tidak lagi berlaku kes ini kerana kita telah mewujudkan perubahan undang-undang drastik bagi memelihara kepentingan pembeli. Undang-undang ini telah pun berkuat kuasa. Selepas ini jika tiada CCC, kunci tidak boleh diserahkan kepada pembeli. Kita sedar perkara ini dan telah meminda akta berkaitan bagi mewujudkan undang-undang lebih ketat. Tribunal Perumahan boleh membicarakan kes melibatkan kos RM50,000 berbanding sebelumnya hanya RM25,000. Pemaju yang ingkar boleh dibicarakan di mahkamah dengan denda minimum RM5,000 dan dikategorikan sebagai kesalahan jenayah. Dulu denda hanya RM800. Sebab itu mereka tidak takut. Pembeli yang menghadapi masalah dinasihatkan supaya merujuk kepada tribunal ini. Jika rumah mengalami banyak kecacatan, dalam masa sama, lewat, mereka boleh membuat dua tuntutan yang melayakkan mereka memperoleh ganti rugi sehingga RM100,000. Tentang pembeli terpaksa membayar faedah kepada pemaju atas alasan bank lambat mengeluarkan bayaran yang ditetapkan. Bukankah tindakan ini tidak adil kepada pembeli? KA TING: Ini antara kelemahan yang kita kenal pasti. Agak sukar untuk kita bertindak ke atas bank kerana mereka mempunyai akta yang melindungi mereka. Bagaimanapun kementerian telah mengadakan perbincangan dengan wakil pemaju dan pihak bank bagi memastikan wujud peruntukan dalam perjanjian jual beli bagi melindung pembeli. Saya tidak dapat mengulas lanjut kerana tiada maklumat lengkap, tetapi ia lebih baik berbanding dahulu. Bagaimana dengan kesan-kesan selepas pembangunan misalnya berlaku banjir dan sebagainya. Siapa yang akan bertanggungjawab? KA TING: Dalam Akta COB, peruntukan yang ditetapkan adalah untuk perkara-perkara berkaitan pengurusan harta bersama sahaja. Oleh itu apabila sesuatu projek pembangunan yang besar dilaksanakan, mereka perlu ada sistem keselamatan dan saliran yang lengkap. Tanpa mematuhinya, perancangan tidak akan diluluskan. Saya difahamkan beberapa tahun kebelakangan ini telah ada syarat- syarat ketat terutama bagi projek-projek mega iaitu mereka perlu mempunyai sistem saliran di bawah jagaan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk menangani masalah banjir. Jika gagal mematuhi, projek-projek yang ingin dibangunkan, tidak sepatutnya diluluskan. Saya percaya apa yang berlaku hari ini isu banjir kilat dan sebagainya adalah projek-projek lama kerana bagi projek baru, mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Ada pihak mengatakan menerusi sistem baru ini kuasa PBT dikurangkan? KA TING: Sebenarnya kita tidak meminda sebarang undang-undang untuk mengambil alih kuasa PBT. Sistem baru ini tidak melibatkan kuasa cuma kita mengatur semula proses dan urusan permohonan mengikut konsep pusat sehenti. Jika kuasa PBT yang sedia ada ini digunakan dengan baik, mereka tidak perlu risau tentang kehilangannya. Yang dibimbangkan ialah kuasa itu tidak diselaraskan dengan betul, direalisasikan dan tidak mempunyai koordinasi di antara jabatan. Maka berlaku pertindihan dan perulangan. Apa cabaran terbesar dihadapi sekarang? KA TING: Memastikan pelaksanaannya benar-benar membuahkan hasil. Ini satu tanggungjawab bersama antara Kerajaan Persekutuan, negeri dan PBT. Tanpa kerjasama semua, kita tidak akan berjaya. Mesej kepada pihak-pihak terbabit? KA TING: Ini adalah satu anjakan paradigma dalam meningkatkan sistem penyampaian awam dan seterusnya daya saing negara. Adalah penting untuk kita sama-sama memastikan negara mampu menarik lebih banyak pelaburan kerana faedahnya kepada rakyat dan Malaysia tidak ketinggalan dalam berhadapan dengan cabaran globalisasi yang hebat. Kalaupun tidak kita mampu bersaing dengan negara maju lain, sekurang-kurangnya setanding dengan negara-negara jiran. Mereka telah mengurangkan kerenah birokrasi, menawarkan banyak insentif kepada para pelabur. Jika Malaysia tidak bertindak dengan cepat dan berkesan, kita akan ketinggalan. |
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang berunsur positif dan membina.