PUTRAJAYA 28 Nov.“ Kerajaan negeri akan diberi kuasa untuk melantik pesuruhjaya bangunan bagi melindungi kepentingan pembeli bangunan bertingkat daripada tarikh serah kunci hingga penyerahan Hak Milik Strata, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, perkara berkenaan terkandung dalam Rang Undang-Undang Bangunan dan Harta Bersama yang akan dibentangkan di Parlimen, bulan depan.
Beliau berkata, melalui Rang Undang-Undang Bangunan dan Harta Bersama, ia akan membolehkan pihak berkuasa negeri melantik pesuruhjaya bangunan sebelum perbadanan pengurusan diwujudkan.
‘‘Jika selepas ini kunci sesebuah projek telah diserahkan kepada penghuni dan didapati penyelenggaraan projek menimbulkan banyak masalah, maka keadaan itu boleh diatasi dengan kerajaan negeri melantik seorang pesuruhjaya bangunan bagi menentukan pengendalian bangunan dengan sempurna,†katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan kali ke-56 di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting.
Mengenai pelantikan pesuruhjaya bangunan, Najib berkata, kerajaan negeri akan membuat keputusan mengenainya dan ia juga boleh melibatkan yang dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) atau seseorang yang layak.
Namun, katanya, jika yang dipertua dilantik sebagai pesuruhjaya bangunan, ia perlu mempunyai pasukan di bawahnya yang akan memeriksa bangunan bertingkat itu.
Pesuruhjaya bangunan itu, kata Timbalan Perdana Menteri, akan membantu menyelesaikan apa juga perkara yang menimbulkan ketidakpuasan di kalangan pembeli.
Pada sidang akhbar itu juga, Najib berkata, enam rang undang-undang yang berkaitan akan dibentang di Parlimen bulan depan bagi membolehkan kerajaan menguatkuasakan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).
Enam undang-undang itu terletak di bawah tiga kementerian iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli.
Menurutnya, CCC yang dijangka dilaksanakan dalam tempoh 18 bulan selepas enam rang undang-undang itu diwartakan, akan menggantikan Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) yang diguna pakai sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, CFO akan terus digunakan untuk projek yang sedang berjalan dan bagi menentukan CCC berkesan, semua kerajaan negeri diingatkan syarat-syarat seperti kuota bumiputera bagi perumahan kos rendah hendaklah diputuskan sebelum pelan bangunan diluluskan.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang berunsur positif dan membina.