Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah memulakan kerja-kerja membaik pulih lif-lif di Taman Permai Indah, Pelabuhan Klang pada 26 Mac 2010. Menurut perancangan awal, kerja-kerja ini dijangka siap pada 25 Mei 2010.
Walau bagaimanapun, pada 3 Mei 2010 sebahagian dari alat-alat ganti telah mengalami kerosakan apabila tempat menyimpannya di tapak telah dimasuki air.
Selain dari itu, pada 11 Mei 2010 terdapat alat-alat ganti yang diperbuat dari aluminium telah didapati dicuri. Kontraktor yang dilantik oleh PKNS telah turut membuat aduan bahawa mereka telah menerima ugutan ketika menjalankan kerja-kerja mereka.
Walaupun berhadapan pelbagai halangan, kerja-kerja membaik pulih terus berjalan dan tidak terhenti.
Menurut jadual baru, satu lif bagi setiap blok (Blok A, B, C dan D) akan siap untuk diuji pada 18 Jun 2010. Lif-lif itu pula dijangka akan mendapat sijil-sijil kebenaran untuk digunakan dari pihak berkuasa selewat-lewatnya dua minggu selepas ianya diuji.
Sementara lif kedua bagi blok-blok tersebut dijangka siap untuk diuji pada 30 Jun 2010. Sijil-sijil juga dijangka diperolehi selewat-lewatnya dua minggu dari tarikh tersebut.
Kerajaan Negeri sedang menyiasat sama ada ugutan dan kecurian ini dilakukan oleh pihak yang mahu menggagalkan atau melambatkan kerja-kerja baik pulih lif ini.
Pertemuan telah diadakan pada 25 Mei 2010 di antara Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) dan wakil Pejabat Exco agar kecurian dan ugutan ini tidak akan berulang.
Adalah lebih bermanfaat jika penduduk dapat bersama-sama memikirkan masalah kecurian yang telah berlaku kerana Kerajaan Negeri bimbang selepas lif-lif itu siap dibaik pulih ia akan juga terdedah kepada kecurian dan vandalisme. Kerajaan Negeri berharap dapat bekerjasama dengan penduduk untuk melahirkan masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab.
Penduduk Taman Permai Indah bernasib baik kerana mereka di antara 3 kawasan perumahan yang terpilih untuk dibantu oleh Kerajaan Negeri. Kos membaik pulih lif bagi ketiga-tiga kawasan ini ialah RM1.6 juta. Terdapat banyak lagi kawasan yang memohon untuk dibantu oleh Kerajaan Negeri.
Secara amnya, penyelenggaran dan membaik pulih lif-lif bukanlah tanggungjawab Kerajaan Negeri tetapi sebenarnya adalah tanggungjawab penduduk. Namun Kerajaan Negeri prihatin dengan masalah yang dihadapi rakyat dan telah melaksanakan program ini untuk membantu mereka.
Kerajaan Negeri difahamkan bahawa ada pihak yang berjanji untuk membantu penduduk tetapi janji ini dibuat setelah mereka kehilangan kuasa. Jikalau benar mereka ikhlas, kenapa tidak membantu penduduk ketika mereka berkuasa?
Malah, masalah yang dihadapi oleh penduduk kini adalah peninggalan dari zaman mereka. Saya berharap agar penduduk tidak akan tertipu dengan mereka yang hanya mementingkan masa depan politik mereka. Mereka hanya pandai memperalatkan rakyat sahaja.
Y.B. Tuan Iskandar Abdul Samad
Exco/Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
14 Jun 2010
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang berunsur positif dan membina.