21/02/2013

1.36 juta bangunan berstrata akan terjejas

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Kira-kira 1.36 juta unit bangunan berstrata membabitkan 4.1 juta isi rumah dijangka terjejas sekiranya Rang Undang-Undang Pengurusan Strata 2012 dilulus serta dilaksanakan di negara ini.
Presiden Institut Pengurus Harta Profesional Malaysia, Ishak Ismail memberitahu, rang undang-undang yang dibentang buat kali kedua di Parlimen bulan lalu itu mempunyai kelemahan ketara sehingga bukan sahaja menjejaskan profesion perunding dan penilai hartanah tetapi rakyat secara keseluruhannya.
Katanya, tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung 'membuang' perkataan 'berdaftar' dalam kalangan pengurus bangunan yang dilantik seperti dibentangkan kali pertama di Parlimen menimbulkan persoalan serta menjadi punca rang undang-undang itu tidak wajar diluluskan.
Menurutnya, impak membuang perkataan 'berdaftar' itu sangat besar kerana membolehkan sesiapa sahaja tanpa latar belakang pengurusan, perundingan dan penilai hartanah menguruskan bangunan berstrata.
Keadaan itu, ujar beliau, memberi impak sangat besar kerana boleh menyebabkan kes penyelewengan wang penduduk yang ditipu dan dilarikan pihak tidak berdaftar.
"Dalam bacaan pertama draf rang undang-undang itu di Parlimen, menteri bersetuju dengan pindaan yang perlu dilakukan dengan menambah syarat 'berdaftar' terhadap pengurus bangunan tetapi selang dua hari kemudian, dipercayai atas tekanan golongan pemaju hartanah, menteri membuat keputusan 'membuang' istilah berdaftar tersebut tanpa berbincang dengan panel penilai termasuklah kami," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen yang berunsur positif dan membina.