KUALA LUMPUR 12 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta campur tangan supaya Rang Undang-Undang Pengurusan Strata 2012 tidak dilaksanakan kerana khuatir memberi kesan kepada sektor perunding serta penilai hartanah pada masa depan.
Naib Presiden Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia, Adzman Shah Mohd. Ariffin berkata, sekiranya rang undang-undang itu dilaksanakan tanpa membetulkan kelemahan ketaranya iaitu menambah perkataan 'berdaftar' terhadap pengurus bangunan, kesannya sangat besar kepada profesion itu yang rata-ratanya diterajui orang Melayu.
Katanya, berdasarkan kajian, sebanyak 58 peratus daripada pengurus bangunan berstrata ketika ini tidak berdaftar sekali gus menjelaskan mengapa keadaan rumah flat, pangsapuri dan kondominium di negara ini tidak diselenggara.
"Selain itu, masalah timbul kerana ketika ini kita mempunyai 8,000 pelajar yang akan tamat pengajian dalam bidang pengurusan hartanah, sekiranya rang undang-undang ini dilaksanakan, peluang pekerjaan mereka semakin sempit kerana perlu bersaing dengan orang ramai.
"Perkara ini boleh menjadi isu besar kerana 80 peratus daripada jumlah tersebut terdiri daripada golongan Melayu serta bumiputera. Kalau perkara tersebut terjadi, lebih ramailah anak-anak Melayu dan bumiputera yang akan menganggur," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau mengulas kontroversi berhubung pindaan rang undang-undang itu yang sedang dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.
Menurut Adzman, campur tangan Najib itu perlu memandangkan usaha lain telah diambil pihak terlibat termasuk berbincang dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung.
"Golongan kaya yang mendiami kondominium mungkin tidak ambil peduli perkara ini tetapi bagaimana dengan mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah. Rata-ratanya mendiami rumah flat serta pangsapuri kos rendah dan kita kena akui kebanyakannya orang Melayu," katanya.
Menurut beliau, campur tangan itu juga mustahak kerana kes penyelewengan wang penduduk oleh perunding serta penilai hartanah tidak berdaftar sering berlaku namun tiada tindakan boleh diambil.
"Sudahlah harga rumah mahal, penduduk pula ditindas golongan perunding dan penilai hartanah tidak berdaftar," katanya.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang berunsur positif dan membina.