06/02/2010 2:33pm
KUALA LUMPUR 6 Feb. Bangunan berstrata seperti rumah pangsa dan pangsapuri banyak dibina kerana ruang tapak untuk pembangunan hartanah semakin terhad di seluruh negara, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha.
Beliau berkata, sehingga Disember lepas, hampir 12,000 projek bangunan berstrata didirikan melibatkan pembinaan kira-kira 1.2 juta unit rumah yang dianggarkan didiami kira-kira lima hingga enam juta penduduk.
Menurutnya, faktor keselamatan dan keselesaan juga menjadi punca semakin ramai pembeli memilih tempat tinggal bertingkat seperti kondominium, pangsapuri dan unit perumahan di bawah pemajuan yang berkonsepkan komuniti berpagar.
Ia melibatkan komuniti yang ramai tinggal dalam bangunan bertingkat.
Kerana itu kita juga prihatin tentang kesejahteraan, pengurusan dan bagaimana mereka menyelenggara dan menguruskannya serta keselamatan, katanya semasa melancarkan Seminar Pengurusan Bangunan Berstrata kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan pengurusan dan penyelenggaraan bangunan berstrata dapat dilakukan dengan berkesan.
Antaranya, kata beliau, adalah dengan mewujudkan jawatankuasa bersama antara kementerian berkaitan dalam proses penambahbaikan perundangan (penyatuan dan pindaan Akta 663 dan Akta 338). - Bernama
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang berunsur positif dan membina.