21/10/2011 8:59pm
KUALA LUMPUR 21 Okt. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menggantikan Akta Bangunan dan Harta Bersama 2007 dengan Akta Pengurusan Strata yang dijangka dilaksana tahun depan.
Menterinya, Datuk Chor Chee Heung berkata, akta baru itu bagi menambah baik kerja pengurusan dan penyelenggaraan bangunan berstrata, antaranya akan melibatkan sebahagian besar pemilik sebagai anggota badan pengurusan bersama (JMB) yang lazimnya diurus pemaju.
Langkah itu bagi mengatasi masalah yang sering timbul seperti pemilik tidak membayar caj penyelenggaraan dan sikap pemilik yang ambil mudah mengenai penyelenggaraan dan baik pulih bangunan, katanya kepada pemberita hari ini.
"Ada juga pemaju yang tidak ambil peduli mengenai penyelenggaraan bangunan mereka, jadi kita mahu pemaju dan pemilik bersama-sama menubuhkan JBM di kawasan (bangunan) mereka, katanya.
Justeru katanya, menerusi undang-undang baru tersebut semua pihak terbabit dapat membuat keputusan secara kolektif bagi menyelesaikan isu berbangkit.
Beliau yang ditemui selepas merasmikan Ekspo Hartanah Malaysia (Mapex) di sini, berkata, akta baru itu juga membolehkan pembeli menerima sijil hak milik strata serentak dengan dokumen lain termasuk sijil layak menduduki (CF). Bernama
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen yang berunsur positif dan membina.