15/05/2012

LAPORAN LAWATAN PADA 21 NOVEMBER 2009


Pada 21/11/2009 (Sabtu) satu lawatan telah diadakan di beberapa pangsapuri di Klang bagi tujuan pemantauan kawasan Badan Pengurusan Bersama (JMB). Lawatan telah dilakukan oleh En.Ari Bin Adam, Ketua Bahagian Pesuruhjaya Bangunan dan Wan Nor Hafizah Binti Amir Pen.Peg. Pesuruhjaya Bangunan. Antara kawasan yang dilawati ialah :-

a)                 Pangsapuri Palma
Pihak Pesuruhjaya Bangunan telah mendapat aduan daripada pengerusi JMB berhubung masalah sampah di pangsapuri tersebut. Hasil siasatan mendapati terdapat 4 rumah sampah di pangsapuri tersebut tetapi kutipan hanya dilakukan di 2 rumah sampah sahaja. Ini mengakibatkan sampah telah memenuhi tong dan bertaburan di luar tong bagi 2 rumah sampah yang lain. Selain itu, tong sampah juga tidak ditolak masuk semula ke dalam rumah sampah selepas kutipan dibuat dan air hujan bertakung dalam tong menyebabkan bau busuk di pangsapuri tersebut. Aduan ini juga telah dipanjangkan kepada pihak Alam Flora Sdn Bhd untuk diambil tindakan.

b)        Pangsapuri Kasurina
Ketika lawatan dijalankan kawasan sekitar pangsapuri tersebut di dalam keadaan yang memuaskan. Di mana terdapat kerja-kerja sedang menaiktarif pintu masuk pangsapuri tersebut daripada beroperasi secara manual kepada automatik. Selain itu, pekerja pembersih juga sedang membasuh rumah sampah dan tong sampah juga berada di dalam rumah sampah.

c)         Pangsapuri Pendamar Indah
Terdapat 2 rumah sampah di pangsapuri yang terletak di pangsapuri kos sederhana dan kos rendah. Namun rumah sampah tersebut telah diubahsuai menjadi pejabat JMB dan bengkel. Ini mengakibatkan tong sampah terletak di luar rumah sampah. Keadaan di pangsapuri kos rendah lebih krtikal kerana hanya ada sebuah tong sampah sahaja dan tidak dapat menampung sampah di kawasan tersebut dan menyebabkan sampah melimpah di luar tong.

d)        Pangsapuri Pendamar 7A
Keadaan di pangsapuri ini memuaskan. Tong sampah berada di dalam rumah sampah dan tiada sampah bertaburan di luar tong. Namun begitu, hanya terdapat satu sahaja tong bagi pangsapuri yang mempunyai 224 unit rumah.


e)         Pangsapuri Pendamar 7B
Pangsapuri ini tidak mempunyai masalah kutipan sampah kerana ketika lawatan kedua-dua tong adalah kosong. Namun tong tersebut tidak dimasukkan semula ke dalam rumah sampah. Keadaan sekitar pangsapuri tidak begitu memuaskan kerana terdapat sampah-sampah kecil daripada kedai-kedai runcit dan pelbagai di bawah pangsapuri tersebut.

f)          Pangsapuri Suria Pendamar
Terdapat salah guna bangunan di kawasan pangsapuri ini di mana kediaman telah dijadikan gerai makan. Terdapat kerusi meja serta khemah yang dipasang di kawasan kaki lima. Selain itu, terdapat 2 rumah sampah namun hanya satu sahaja yang digunakan bagi penempatkan satu tong sahaja. Tong sampah tersebut juga tidak diletakkan di dalam rumah sampah.

g)        Pangsapuri Perdana Villa
Pihak Pesuruhjaya Bangunan telah menerima aduan daripada penduduk  pangsapuri berkenaan berhubung beberapa masalah pengurusan dan penyenggaraan di pangsapuri ini. Antaranya ialah kolam renang yang tidak diselenggaraan dengan baik dan terdapat jentik-jentik, pengurusan lanskap, sampah yang tidak dikutip dan juga Sijil Layak Menduduki Bangunan. Hasil siasatan pihak kami mendapati kolam renang tersebut masih digunakan oleh penduduk. Mereka memaklumkan bahawa, pihak pengurusan baru menambah klorin dan menghidupkan pam kolam tersebut. Pengurusan lanskap yang kurang memuaskan kerana rumput di kawasan tersebut tidak dipotong. Selain itu, tong sampah diletak di luar rumah sampah dan tiada kutipan dijalankan menyebabkan tong penuh dan sampah bertaburan di luar tong. Pihak pemaju ada penampal Sijil Layak Menduduki Sementara di papan kenyataan dan pihak Pesuruhjaya Bangunan akan merujuk kepada Jabatan Bangunan berhubung sijil layak menduduki pangsapuri tersebut.